Maafkan Aku, Balqis!

   
                                   
 Acapkali kita mengabaikan insan-insan yang dekat dengan kita. Tanpa disedari, insan yang menyayangi dan menyanjungi kita memendam rasa. Mungkin sudah tabiat manusia, ketika masih ada, tidak dihargai. Apabila sudah tiada, barulah terkenang-kenang. Namun, ketika itu, sudah terlambat. Hanya kenangan yang menjadi pengubat rindu...
     Sejak kecil lagi, Azmira berkawan rapat dengan Balqis. Keakraban mereka seperti adik-beradik. Malah, ibu bapa Azmira sendiri menganggap Balqis seperti anak kandung mereka memandangkan Balqis anak yatim piatu. Balqis tinggal bersama ibu saudaranya yang tinggal berjiran dengan keluarga Azmira. Sejak itu, Azmira dan Balqis berkawan rapat. Persahabatan gadis ini berlanjutansehingga ke menara gading. Namun, persahabatan ini mula renggang sejak masing-masing mula bekerja.  Azmira beruntung kerana dalam usia yang masih muda, dia diberi untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat antarabangsa.Balqis pula bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat pembinaan. Jika dibandingkan Azmira dan Balqis, sudah tentulah Azmira lebih berjaya.
     Kejayaan yang dikecapi oleh Azmira membuatkan hubungannya dengan Balqis semakin jauh. Setiap kali Balqis menghubungi Azmira untuk keluar makan bersama, alasan sibuk, mesyuarat dan bertugas di luar daerah membuatkan Balqis terasa dirinya tidak dihargai oleh Azmira. Namun, Balqis tetap bersabar dengan karenah Azmira kerana yakin dengan sahabatnya itu benar-benar sibuk.

     Suatu hari, Balqis tergerak hati untuk menghubungi Azmira. Sekadar untuk berbual-bual kosong.

Azmira : "Ye Balqis, ada apa call?"
Balqis  : "Saja. Hendak bertanya khabar. Lagipun, dah lama kita tak jumpa. Kau sihat Mira?"
Azmira : "Hmm, aku okey je." (jawab Azmira acuh  tak acuh sambil jari jemarinya ligat mengetuk papan kekunci komputer.)
Balqis : "Jom kita makan malam sama?"
Azmira : "Aku tak free lah. Ada dinner dengan klien. Maaflah...."
Balqis  : "Tak mengapalah kalau kau sibuk Mungkin lain kali kita jumpa."  ( rasa sayu di hati Balqis ketika itu. Namun, dia tahu dia tidak dapat berbuat apa-apa.)
Azmira : "Kalau tak ada apa-apa yang penting, aku nak sambung kerja."
Balqis  : "Ok." (sambil menahan sebak di dada.)


     Sebenarnya Balqis ingin berkongsi cerita tentang penyakit dialaminya. Balqis sebenarnya menghidap penyakit kanser otak tahap empat. Sebagai seorang anak yatim piatu, hanya pada Azmira tempat dia berkongsi suka dan duka. Lagipun, ibu saudaranya telah berpindah ke luar negara.
     Penyakit Balqis tidak dapat diubati. Dalam sisa-sisa hidupnya, Balqis ingin menghabiskan masa dengan Azmira. Sehinggalah saat-saat akhir hayat Balqis, hanya kedua ibu bapa Azmira menemaninya di hospital. Ketika itu, Azmira bertugas di luar daerah. Telefon bimbit Azmira gagal dihubungi.
     Akhirnya, Azmira hanya dapat bertemu tubuh kaku dan pucat Balqis sahaja. Bengkak mata Azmira menangisi pemergian Balqis. Oleh kerana Balqis tiada saudara-mara lain, ibu bapa Azmiralah yang menguruskan pengkebumian Balqis...